Saturday, 4 February 2017

Tanda Arah Ke Rumah Pengantin

Ramai yang mengambil mudah mengenai rekabentuk tanda arah ke lokasi majlis sehinggakan ada yang langsung tidak menyediakan papan tanda arah ke majlis mereka. 

Kasihan para tetamu sampai ada yang sesat barat tak jumpa simpang nak masuk ke rumah pengantin.

Ini ada 7 tips yang saya boleh kongsikan untuk bakal pengantin di luar sana:


1.  GUNAKAN SAIZ TULISAN YANG BESAR

Tidak kisah saiz kertas apa yang anda gunakan, yang penting manfaatkan ruang di atas kertas tersebut.  Pastikan nama pengantin, tarikh majlis dan tanda arah dapat dilihat dengan jelas dari jarak yang jauh, sekurang-kurangnya pada jarak 10 kaki.  Ini akan membantu jemputan anda segera mengecam papan tanda arah anda dan bersedia untuk membelok ke mana-mana simpang dengan lebih awal.


2.  JANGAN TERLALU BERWARNA WARNI

Elakkan dari memenuhkan papan tanda arah anda dengan warna dan kerawang-kerawang yang boleh menenggelamkan elemen penting dalam papan tanda arah tersebut.  Ingat, yang jemputan ingin lihat hanyalah nama pengantin, tarikh dan anak panah.  Secantik manapun hiasan grafik di atas papan tanda arah anda, kalau ianya tidak membantu orang ramai tiba ke majlis anda, maka anda telah melakukan satu pembaziran.

Gambar 1 : Contoh penanda arah dibuat menggunakan saiz tulisan besar supaya memenuhi ruangan yang anda.  

Gambar 2 : Penanda arah seperti ini masih boleh dianggap baik.  Nama pengantin masih jelas kelihatan dari jarak jauh.

Gambar 3 :  Contoh penanda arah yang salah.  Ini adalah kesilapan biasa yang dikalukan oleh kebanyakan orang.  Saiz tulisan kecil dan nipis.


3.  PASTIKAN PENANDA ARAH KALIS AIR

Penanda arah yang menggunakan material kanvas tidak ada masalah dengan air hujan. Tapi sekiranya anda sekadar menggunakan kertas A4, anda perlu mengeluarkan sedikit belanja untuk laminate kertas tersebut.  Alternatif lain yang boleh anda guna adalah balut sahaja kertas tersebut dengan plastik jernih pembungkus lauk.  Biasanya ada dijual di kedai runcit biasa.  Cari yang bersaiz besar.

Pastikan juga penanda arah anda mampu kukuh dalam posisi yang betul sehingga selesai majlis.  Bayangkan seandainya penanda arah anda mudah perpaling ke arah yang lain apabila ditiup angin, alamatnya memang sesatlah semua jemputan anda pada hari tersebut.


4.  SATU SIMPANG SATU PAPAN TANDA

Bukan semua jemputan faham selok belok laluan ke lokasi majlis anda.  Adalah penting untuk anda menyediakan penanda arah dengan secukupnya.  Satu simpang, satu penanda arah.  Pastikan juga anak panah pada setiap penanda arah menunjuk ke arah yang betul.   Walaupun pada zaman ini sudah ada aplikasi seperti Waze dan Google Maps, tetapi harus diingat, bukan semua tempat mampu dikesan oleh aplikasi ini.  Apatah lagi sekiranya majlis anda terletak di kawasan yang tiada capaian internet.


5.  ELAKKAN HALANGAN

Pastikan papan tanda arah anda tidak terlindung dengan ranting pokok, papan iklan komersil, kenderaan atau lain-lain halangan.  


6.  LETAK PADA PARAS YANG TINGGI

Paras 5 kaki dari permukaan tanah paling sesuai.  Pada paras ini, papan tanda arah anda mudah dilihat dari jarak jauh.


7.  ELAKKAN VANDALISME

Elakkan dari menampal penanda arah ke majlis anda di atas papan-papan tanda milik agensi kerajaan atau papan iklan syarikat swasta.   Perkara ini tidak mustahil berlaku. Ada golongan manusia yang hanya ingin mengambil jalan mudah menjadikan papan iklan, papan tanda, tiang lampu isyarat sebagai tempat mereka menampal dan menggantung penanda arah.


8.  JADILAH WARGA YANG BERTANGGUNGJAWAB

Yang terakhir, sebaik selesai majlis, jangan lupa pula untuk mengambil semula penanda arah anda tadi.  Sayangi alam sekitar. elakkan pencemaran!


#tipsperkahwinan
#khidmatpengantin
#perkahwinan
#konsultanperkahwinan
#orangkahwin

 

No comments:

Post a Comment