Sunday, 5 February 2017

Pelamin oh Pelamin...


Pelamin adalah antara kemestian di dalam sesebuah majlis perkahwinan.  Ada pasangan pengantin yang sanggup berhabis ribuan ringgit bagi mendapatkan rupa bentuk pelamin idaman mereka.  Pun begitu, dalam kebanyakan majlis, saya dapati ramai pengantin terlupa tentang satu perkara, BAHANG PELAMIN!

Bayangkan sebaik anda tiba di perkarangan lokasi majlis pada waktu tengah hari yang panas, peluh sudah mula keluar sedikit di dahi anda.  Kemudian ketika diarak dengan paluan kompang, peluh mula keluar perlahan-lahan membasahi busana raja sehari anda.  Ketika itu kita harapkan semuanya akan berakhir dengan cepat.  Tetapi sudah tentu tidak secepat itu.  Anda dan pasangan akan dibawa terus ke pelamin untuk acara salam restu.  Saat inilah peluh mula mencurah keluar.  Bahang badan anda (akibat diarak dalam panas tengah hari tadi), ditambah dengan bahang yang datang dari setiap lampu pelamin, pastinya anda sudah tidak selesa untuk terus duduk di pelamin yang disewa mahal tadi.  

"Alah, pengapitkan ada, aku suruhlah dia kipaskan aku kuat-kuat" mungkin ini kata anda dalam hati.

Tapi percayalah, kalau dah panas sangat, pengapit pun akan menyerah kalah.  Lebih baik dia kipas diri dia sendiri. 

ANTARA SOLUSI YANG BOLEH DILAKUKAN...

1. Sediakan kipas di kiri dan kanan pelamin
2. Sewa kipas dari pemilik khemah.  Biasanya mereka ada kipas industri.
3. Paling baik, sewa sahaja 'outdoor air cooler'.  Pastinya anda kekal sejuk dan selesa di pelamin indah anda!  


Contoh kipas industri.  Sumber gambar dari Google
Contoh air cooler.  Sumber gambar dari Google

Mana boleh sewa air cooler ni? Taip je di facebook "sewa air cooler".  Ada la page vendor yang keluar nanti.


KELEBIHAN MENGGUNAKAN KIPAS / AIR COOLER DI PELAMIN


Anda akan berada di pelamin untuk satu jangka masa yang agak lama.  Bermula dari bersanding, salam restu dan berakhir dengan sesi fotografi.  Sebab itu adalah penting untuk anda sediakan pelamin yang bukan sahaja cantik, bahkan juga selesa. 

Selain itu, peluh yang kerap keluar boleh merosakkan solekan pada wajah pengantin perempuan. Sayanglah solekan yang berharga ratusan ringgit rosak sekelip mata kerana peluh yang tidak hanti keluar.

Pengantin juga perlu ingat, bukan anda sahaja yang akan berada di pelamin nanti. Pengapit, penjaga bunga telur dan jurufoto akan turut berkongsi pentas dengan anda. Sekiranya mereka tidak selesa, pastinya akan memberi sedikit kesan kepada majlis anda. Pastinya kita tidak mahu mereka yang berada di atas pentas pelamin kerap mengelap peluh mereka.

Sekian dulu dari saya,
PengurusKenduriKahwin

#penguruskendurikahwin
#tipsperkahwinan
#cintamemento
#pelamin

Saturday, 4 February 2017

Tanda Arah Ke Rumah Pengantin

Ramai yang mengambil mudah mengenai rekabentuk tanda arah ke lokasi majlis sehinggakan ada yang langsung tidak menyediakan papan tanda arah ke majlis mereka. 

Kasihan para tetamu sampai ada yang sesat barat tak jumpa simpang nak masuk ke rumah pengantin.

Ini ada 7 tips yang saya boleh kongsikan untuk bakal pengantin di luar sana:


1.  GUNAKAN SAIZ TULISAN YANG BESAR

Tidak kisah saiz kertas apa yang anda gunakan, yang penting manfaatkan ruang di atas kertas tersebut.  Pastikan nama pengantin, tarikh majlis dan tanda arah dapat dilihat dengan jelas dari jarak yang jauh, sekurang-kurangnya pada jarak 10 kaki.  Ini akan membantu jemputan anda segera mengecam papan tanda arah anda dan bersedia untuk membelok ke mana-mana simpang dengan lebih awal.


2.  JANGAN TERLALU BERWARNA WARNI

Elakkan dari memenuhkan papan tanda arah anda dengan warna dan kerawang-kerawang yang boleh menenggelamkan elemen penting dalam papan tanda arah tersebut.  Ingat, yang jemputan ingin lihat hanyalah nama pengantin, tarikh dan anak panah.  Secantik manapun hiasan grafik di atas papan tanda arah anda, kalau ianya tidak membantu orang ramai tiba ke majlis anda, maka anda telah melakukan satu pembaziran.

Gambar 1 : Contoh penanda arah dibuat menggunakan saiz tulisan besar supaya memenuhi ruangan yang anda.  

Gambar 2 : Penanda arah seperti ini masih boleh dianggap baik.  Nama pengantin masih jelas kelihatan dari jarak jauh.

Gambar 3 :  Contoh penanda arah yang salah.  Ini adalah kesilapan biasa yang dikalukan oleh kebanyakan orang.  Saiz tulisan kecil dan nipis.


3.  PASTIKAN PENANDA ARAH KALIS AIR

Penanda arah yang menggunakan material kanvas tidak ada masalah dengan air hujan. Tapi sekiranya anda sekadar menggunakan kertas A4, anda perlu mengeluarkan sedikit belanja untuk laminate kertas tersebut.  Alternatif lain yang boleh anda guna adalah balut sahaja kertas tersebut dengan plastik jernih pembungkus lauk.  Biasanya ada dijual di kedai runcit biasa.  Cari yang bersaiz besar.

Pastikan juga penanda arah anda mampu kukuh dalam posisi yang betul sehingga selesai majlis.  Bayangkan seandainya penanda arah anda mudah perpaling ke arah yang lain apabila ditiup angin, alamatnya memang sesatlah semua jemputan anda pada hari tersebut.


4.  SATU SIMPANG SATU PAPAN TANDA

Bukan semua jemputan faham selok belok laluan ke lokasi majlis anda.  Adalah penting untuk anda menyediakan penanda arah dengan secukupnya.  Satu simpang, satu penanda arah.  Pastikan juga anak panah pada setiap penanda arah menunjuk ke arah yang betul.   Walaupun pada zaman ini sudah ada aplikasi seperti Waze dan Google Maps, tetapi harus diingat, bukan semua tempat mampu dikesan oleh aplikasi ini.  Apatah lagi sekiranya majlis anda terletak di kawasan yang tiada capaian internet.


5.  ELAKKAN HALANGAN

Pastikan papan tanda arah anda tidak terlindung dengan ranting pokok, papan iklan komersil, kenderaan atau lain-lain halangan.  


6.  LETAK PADA PARAS YANG TINGGI

Paras 5 kaki dari permukaan tanah paling sesuai.  Pada paras ini, papan tanda arah anda mudah dilihat dari jarak jauh.


7.  ELAKKAN VANDALISME

Elakkan dari menampal penanda arah ke majlis anda di atas papan-papan tanda milik agensi kerajaan atau papan iklan syarikat swasta.   Perkara ini tidak mustahil berlaku. Ada golongan manusia yang hanya ingin mengambil jalan mudah menjadikan papan iklan, papan tanda, tiang lampu isyarat sebagai tempat mereka menampal dan menggantung penanda arah.


8.  JADILAH WARGA YANG BERTANGGUNGJAWAB

Yang terakhir, sebaik selesai majlis, jangan lupa pula untuk mengambil semula penanda arah anda tadi.  Sayangi alam sekitar. elakkan pencemaran!


#tipsperkahwinan
#khidmatpengantin
#perkahwinan
#konsultanperkahwinan
#orangkahwin